SHAH ALAM – Dadah pelbagai jenis dianggarkan seberat 832.9 kilogram (kg) bernilai hampir RM118 juta tidak sempat dieksport ke negara jiran selepas makmal dan stor penyimpanannya digempur polis Bukit Aman di sekitar Lembah Klang, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, makmal itu dipercayai memproses dadah jenis erimin 5, ekstasi, kokain dan methamphetamine yang beroperasi sejak Disember 2024.
“Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan seorang warga tempatan, 10 lelaki warganegara Taiwan dan seorang perempuan warga Thailand berusia antara 20 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Beliau berkata, tangkapan 12 suspek itu melibatkan serbuan ke beberapa premis termasuk sebuah gudang di Taman Industri Alam Jaya 2, Puncak Alam, Selangor, dipercayai makmal haram terbesar memproses dadah.
“Pemeriksaan telah dibuat di sebuah rumah di Amelia Garden Homes, Desa Park City, Kuala Lumpur dan sebuah rumah di Taman Balakong Jaya, Seri Kembangan, Selangor yang dijadikan stor penyimpanan hasil pemprosesan dadah,” katanya.
Menurut Kok Chin, hasil pemeriksaan ke atas tiga premis itu, pihaknya menjumpai beg silang berwarna hitam yang mengandungi satu alat kawalan jauh bersama dua anak kunci.
“Turut dijumpai lima plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamin, 70 keping aluminium foil berwarna perak dan merah, masing-masing berisi pil-pil disyaki dadah jenis erimin 5.
“Pemeriksaan di dalam rumah menjumpai pelbagai jenis dadah iaitu ekstasi, kokain, syabu, heroin, heroin base, ganja dan ketamin di mana nilai keseluruhannya dianggarkan sebanyak RM117,992,500.
“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 3.34 juta orang penagih dadah,” katanya.
Selain pelbagai jenis dadah, hasil serbuan tiga premis terbabit, JSJN Bukit Aman turut menjumpai 15 pucuk pistol, selaras sub machine gun dan 900 butir peluru.
“Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN telah menyita aset dan wang tunai dianggarkan bernilai RM1 juta. (nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM120 juta),” katanya.
Jelas Kok Chin, sindiket menggunakan gudang yang disewa sebanyak RM60,000 sebulan untuk memproses dadah sejak awal Disember 2024.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan gudang kawasan perindustrian sebagai tempat pemprosesan dadah (makmal dadah).
“Rumah sewa pula dijadikan tempat penyimpanan dadah (stor) sebelum diedarkan ke Lembah Klang dan negara jiran termasuk Kemboja dan Jepun,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, Sek. 7 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Sek. 8(A) Akta Senjata 1960.
“Kesemua saspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Januari bagi membantu siasatan,” katanya.
Selain itu, katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati, tiga lelaki warganegara Taiwan positif dadah ketamin manakala yang lain negatif dadah.
“Semakan rekod jenayah melalui Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) mendapati hanya enam lelaki warganegara Taiwan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, bunuh, jenayah kekerasan dan penipuan.
“JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.
“PDRM khususnya JSJN bertekad untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline jsjn di talian 012-208 7222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette