KUALA LUMPUR – Sebuah kilang yang meletup di Taman Perindustrian Kapar Bestari, Klang, Selangor petang tadi dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pusat kawalan daerah Klang Utara menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.45 petang.
“Hasi siasatan awal polis di lokasi mendapati, letupan itu berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di perkarangan sebuah kilang kimia.
“Terdapat kerosakan pada bangunan itu dan juga beberapa kilang berhampiran. Buat masa ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima maklumat letupan itu pada jam 4.32 petang di Jalan Bestari 3 A, Ku 7, Taman Perindsutrian Sungai Kapar Indah.
Serentak itu, seramai 14 pegawai dan anggota turut melibatkan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara serta dibantu BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, Komander Operasi, Shaharil Mohamad Hassan@Ibrahim memaklumkan terdapat asap berwarna kuning yang memedihkan mata.
“Pasukan Hazmat yang berada di lokasi segera membuat pengujian udara dan mendapati udara dalam keadaan normal namun bahan yang terbakar didapat adalah recycle asid.
“Terdapat sebuah lori tanker didapati hancur akibat terbakar dalam kejadian itu,” jelasnya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, sehingga kini pasukan HAZMAT masih lagi membuat pemantaun di lokai dan menunggu Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette