KUALA LUMPUR – Kes pukul membabitkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, pada Jumaat lepas tidak boleh dijadikan alasan oleh sesiapa untuk bersikap kasar, kejam dan tidak berperikemanusiaan sama ada kepada manusia ataupun haiwan.
Ini kerana, sikap santun, rasional, tolak ansur dan perundingan boleh menjadi jalan lain dibandingkan dengan kekerasan, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Syaheera Ghafar.
Beliau berkata, masyarakat perlu kembali kepada fitrah kehidupan yang mendambakan keamanan, kasih sayang dan hal-hal yang baik.
“Tanggungjawab ini sebenarnya tergalas di bahu kita semua, terutama yang dewasa untuk menunjukkan contoh teladan yang baik apatah lagi setiap daripada kita membentuk komponen masyarakat serta rakyat di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Syaheera berkata, beliau menyokong seruan Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi agar tindakan keras perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dengan kes pukul itu.
“Selain daripada sikap kejam dan tidak berperikemanusiaan yang ditonjolkan oleh golongan yang terlibat, sikap tidak endah masyarakat lain yang hanya menonton dan merakam juga menimbulkan persoalan, adakah masyarakat kita semakin hilang rasa belas kasihan, simpati dan empati apabila hanya melihat kejadian itu?
“Keadaan menyedihkan ini menimbulkan rasa bimbang saya terhadap sikap masyarakat hari ini dan bagaimana pula sikap generasi ke hadapan apabila perkara ini semakin menjadi norma dalam Masyarakat?” soal beliau.
Terdahulu, media melaporkan, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul seorang lelaki mental di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu, mangsa seorang OKU mental berusia 47 tahun dipukul beberapa individu.
Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani berkenaan.
Mangsa dikatakan dipukul selepas motosikal ditunggangnya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah. – MalaysiaGazette