KUALA LUMPUR – Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang disambung semula susulan lawatan Perdana Menteri ke Brussels, Belgium merupakan satu detik bersejarah dan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia.
Pejabat Perdana Menteri berkata, ia mencerminkan komitmen Malaysia dalam memupuk hubungan ekonomi yang lebih erat dengan EU, yang merupakan salah satu rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi Malaysia.
“Pencapaian ini menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua belah pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.
“MEUFTA dijangka membuka manfaat yang besar merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia, selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor-sektor kritikal. Ia berpotensi untuk meningkatkan eksport dari sektor-sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya, serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU.
“Di samping itu, MEUFTA akan menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu dari EU dalam sektor-sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras dengan matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pengumuman itu dibuat secara bersama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, Presiden Suruhanjaya Eropah.
Pada tahun 2023, EU merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 5.2% kepada RM200 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Sehingga tahun 2023, pelaburan EU di Malaysia telah menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
Penyambungan semula rundingan MEUFTA adalah bukti visi bersama dalam kerjasama ekonomi dan aspirasi untuk membuka potensi perkongsian
perdagangan dan pelaburan.
Katanta, Kerajaan Malaysia komited untuk mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, disamping memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.
Kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan MEUFTA
mencerminkan kepentingan nasional dan aspirasi ekonomi Malaysia, tambahnya. – MalaysiaGazette