JOHOR BAHRU – Tindakan seorang warga emas mengambil gambar kemalangan membawa padah apabila dilanggar sebuah kenderaan di kilometer (KM) 14, Lebuhraya Iskandar Sultan di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku semasa lelaki berusia 68 tahun sedang leka merakam foto di tepi jalan berkenaan pada pukul 6.40 pagi.
Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, semasa mengambil gambar, datang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dari Jalan Prisma menghala ke Johor Bahru.
“MPV berkenaan yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun cuba mengelak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang terbabas dan melanggar batu konkrit pembahagi jalan.
“Tindakan pemandu Perodua Alza itu telah menyebabkan MPV dipandunya terbabas lalu melanggar warga emas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menurut Balveer Singh, pemandu Perodua Alza pula mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan kiri dan kaki kanan.
Kes itu katanya, disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Inspektor Jin Siong 011-16490168 bagi membantu siasatan,” tambahnya.- MalaysiaGazette