ANKARA – Sebuah hotel di pusat peranginan ski di Bolu, Turkiye terbakar mengorbankan 10 orang dan 32 yang lain cedera.
Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya dua daripada mangsa maut selepas terjun dari tingkap hotel untuk menyelamatkan diri.
Kebakaran berlaku di tingkat 12, Hotel Grand Kartal pada jam 3:27 pagi waktu tempatan (00:27 GMT) semasa musim cuti.
Semasa kejadian terdapat 234 orang tetamu menginap di hotel berkenaan, kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya.
Rakaman video yang tular menunjukkan kain linen tergantung pada tingkap yang digunakan oleh mereka yang cuba melarikan diri dari bangunan yang terbakar.
Jarak hotel berkenaan di Kartalkaya kira-kira 170 kilometer di barat laut ibu kota Ankara
Gabenor Bolu Abdulaziz Aydin berkata, laporan awal mengesyaki kebakaran berlaku di bahagian restoran di tingkat empat hotel itu dan merebak ke tingkat atas.
Gabenor memberitahu, cuaca beku di kawasan Kartalkaya danĀ peranginan itu menyebabkan jentera bomba mengambil masa untuk tiba di lokasi.
Pergunungan Bolu terkenal dengan pemain ski dari Istanbul dan Ankara dan hotel itu beroperasi pada kadar penghunian tinggi pada permulaan cuti sekolah selama dua minggu.
Walaupun kebakaran hanya di satu hotel, gabenor memberitahu, sebuah hotel jiran telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga. – Agensi