JOHOR BAHRU – Penggunaan vape atau rokok elektronik sebagai alternatif lebih selamat yang diamalkan segelintir perokok tegar sejak beberapa tahun lalu hanya akan membawa kesan yang lebih mudarat sekiranya tidak dibendung.
Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Dr Lim Jin Lee berkata, ini kerana bahan kandungan pembuatan cecair rokok elektronik itu akan menjejaskan kesihatan termasuk berpotensi mendapat penyakit berbahaya.
Jelasnya, risiko ketagihan akibat pengambilan nikotin dalam vape juga tidak berbeza daripada rokok tradisional selain kesan lain yang lebih mudarat terutama kepada kesihatan paru-paru.
“Dengan pelbagai perisa dan rekabentuk yang menarik, vape menarik perhatian ramai, khususnya golongan muda. Namun, realitinya semakin banyak kajian menunjukkan bahawa vape juga membawa risiko kesihatan yang serius.
“Walaupun rokok dikenal pasti sebagai penyebab pelbagai penyakit kronik, bahaya vape masih belum lagi disahkan sepenuhnya. Jadi, tabiat ini sentiasa menimbulkan persoalan mengenai penggunaannya untuk jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Jin Lee berkata, garis panduan keselamatan yang diperkenalkan kerajaan pada 2023 juga merupakan panduan terbaik yang menunjukkan penggunaan rokok elektronik juga tidak membawa manfaat yang baik kepada kehidupan seharian orang ramai.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah melancarkan Garis Panduan Amalan Klinikal Untuk Kecederaan Paru-Paru Berkaitan E-rokok (EVALI) yang membuktikan bahawa vape adalah ancaman kepada rakyat kita, terutamanya generasi muda.
“Data mengenai bahaya vape buat masa ini hanya berusia 10 hingga 20 tahun, jauh lebih rendah daripada rokok. Oleh itu, orang ramai secara amnya masih percaya bahawa rokok elektronik adalah lebih selamat jadi kita betulkan persepsi bahawa ini kerana vape bukan alternatif untuk berhenti merokok,” katanya.
Beliau berkata, bahan kimia berbeza yang kebiasaannya berada dalam kandungan vape seperti logam berat, nikotin, propilena glikol, gliserol dan pigmen boleh membawa kepada ancaman penyakit kronik.
“Apa yang lebih menakutkan adalah kandungan rokok elektronik ini masih terdapat banyak bahan kimia yang tidak diketahui dan dicampurkan ke dalam perisa berwarna-warni. Adakah paru-paru kita benar-benar boleh menahan bahan kimia yang tidak diketahui ini tanpa sebarang kesan sampingan?
“Menurut data daripada The Food and Drug Administration (FDA), vape boleh menyebabkan ketagihan nikotin, pelbagai jenis kanser, kelahiran pramatang dan keguguran kepada wanita hamil, keracunan nikotin pada kanak-kanak, dan meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok,” katanya.
Dalam pada itu, Jin Lee menyatakan sokongannya kepada tindakan Kerajaan Johor yang masih mengekalkan larangan penjualan vape dan rokok elektronik di negeri ini.
Sebelum ini, Kerajaan Johor menerusi perbentangan Bahet 2025 kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape atau rokok elektronik di negeri ini yang memasuki tahun ke-9 sejak larangan dikuatkuasa pada 2016.- MalaysiaGazette