KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap seorang pegawai tertinggi badan induk itu selepas selesai menjalankan siasatan.
Persatuan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya komited untuk menerima dan melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh SPRM dalam usaha memperkukuhkan aspek tadbir urus persatuan berkenaan.
Selain itu, BAM turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penaja yang setia bersama persatuan dan memberikan sokongan penuh meskipun menghadapi tempoh yang mencabar.
Disember lalu, media melaporkan lima pegawai SPRM hadir di pejabat BAM di Kuala Lumpur untuk meneliti beberapa dokumen, termasuk minit mesyuarat, bagi tujuan siasatan.
BAM dalam satu kenyataan turut mengesahkan pegawai SPRM mengunjungi pejabat badan induk itu bagi mendapatkan maklumat tertentu. – MalaysiaGazette