Ng Inn Hock didakwa atas tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Bapa mentua kepada lelaki yang diberkas susulan penemuan sepucuk pistol dan peluru hidup di persisiran Pantai Robina, di sini, didakwa atas tuduhan melakukan ugutan jenayah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Ng Inn Hock, 56, bagaimanapun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, pengawal keselamatan itu didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan sepucuk pistol kepada Ong Chee Keong, 44, dengan niat mendatangkan ketakutan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kilang mi di Lorong Industri Sungai Puyu di sini, jam 3.46 petang pada 13 Januari lalu.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Khairul Fairuz Rahman dan Mohamad Syazwan Roslan.

Ketika prosiding Airina Syazreen menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan menganggu pengadu kes.

Bagaimanapun, Mohamad Syazwan dalam mitigasi rayuan memohon jaminan minima atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM2,500 perlu menyara isteri.

“Anak guam saya juga memberikan kerjasama dengan pihak polis sepanjang tempoh reman iaitu selama lima hari, jadi tiada isu untuk dia melarikan diri selain itu jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah bukanlah berbentuk hukuman,” katanya.

Aini Adilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh menganggu pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 17 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki buang pistol, peluru di Pantai Robina direman tujuh hari

MalaysiaGazette pada Khamis lalu melaporkan seorang jurujual direman bagi membantu siasatan kes penemuan sepucuk pistol dan peluru hidup di persisiran Pantai Robina di sini, pada Selasa lalu.

Lelaki berusia 28 tahun dikatakan membuang senjata itu di Pantai Robina selepas bapa mentuanya ditahan polis bagi membantu siasatan melakukan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here