KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS menyediakan lima nasihat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai renungan selepas mengeluarkan kenyataan UMNO akan kalah dalam pilihan raya umum kerana majoriti orang Melayu tidak menggunakan akal fikiran mereka adalah pandangan yang begitu sempit.
Pengarah Komunikasi Strategiknya, Nazrul Nazir berkata, Lokman seharusnya menghormati pilihan pengundi kerana setiap individu berhak membuat pilihan politik berdasarkan penilaian peribadi mereka kerana ialah asas proses demokrasi yang sihat.
Malah ujar beliau, Pengarah Komunikasi UMNO itu perlu lebih konstruktif dalam memahami kebimbangan para pengundi, bukannya mengkritik pengundi sedemikian rupa.
“Dato’ perlu memahami punca penolakan pengundi Melayu terhadap UMNO, yang faktor utamanya melibatkan prinsip yang tergadai dan kepimpinan yang tiada nilai.
“Dato’ seharusnya menangani kekalahan dengan membina semula kesepakatan ahli, mengakui kesilapan, dan bertanggungjawab secara kolektif dalam mencari semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.
“Dato’ perlu belajar daripada kekalahan dan beradaptasi dengan strategi baharu yang lebih inklusif,” tulisnya di Facebook rasmi Dewan Pemuda Pas di sini hari ini.
Nazrul menambah, hakikatnya, Lokman perlu menerima realitiĀ orang Melayu sekarang sudah semakin pandai dan tidak mudah diperalatkan.
“Kesempitan akal fikiran Dato’ lah yang sebenarnya mengalahkan parti Dato’ sendiri.
“Pahit, tapi inilah kebenarannya,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette