BAYAN LEPAS – Seorang pelajar sekolah menengah maut dipercayai ketika merempit di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala Batu Maung, di sini, hari ini.
Kejadian jam 4.30 pagi menyebabkan mangsa berusia 17 tahun itu maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda C100 dari arah Georgetown menghala ke Batu Maung itu disyaki terbabit dengan aktiviti rempit.
“Ketika tiba di hadapan sebuah kilang, mangsa dikatakan hilang kawalan ketika menunggang motosikalnya menyebabkan dia terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa disyaki merempit bersama rakannya namun kita masih menyiasat jumlah kenderaan terbabit dalam kejadian itu.
“Mangsa mempunyai lesen dan setakat ini tiada saksi yang tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Sazelee, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette