Afnan Hamimi

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyeru supaya boikot ke atas Starbucks diteruskan sehingg Palestin mencapai kemerdekaan.

Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan Pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad (Berjaya) Tan Sri Vincent Tan supaya boikot dihentikan kerana gencatan senjata sudah dicapai disifatkan sebagai tidak bersimpati ke atas penduduk Gaza.

“Pemuda Pas Malaysia memandang serius akan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang menyatakan bahawa tiada keperluan untuk memboikot Starbuck kerana Gaza sudah aman.

“Kenyataan tersebut menunjukkan tiada langsung sifat empati terhadap umat Islam di Gaza yang dibantai oleh Isreal selama hampir 500 hari lamanya sehingga menyebabkan lebih 46,899 warga Palestin di Semenanjung Gaza telah terkorban dengan lebih 110,725 orang dilaporkan cedera,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, walaupun perjanjian gencatan senjata telah termeterai namun tiada jaminan akan terlaksana kerana Israel mempunyai rekod melanggar perjanjian.

Malah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu turut menyatakan rejim zionis itu mempunyai hak untuk melancarkan serangan terhadap Gaza selepas berakhirnya gencatan senjata.

“Oleh itu, kita perlu memahami bahawa solidariti boikot yang dilakukan ini bukan bersifat ‘one-off’, sebaliknya ia merupakan usaha berterusan dalam melumpuhkan mana-mana syarikat pro Israel yang memberi keuntungan ekonomi kepada Israel untuk meneruskan jenayahnya.

“Justeru, Pemuda Pas Malaysia sekali lagi menolak dengan tegas akan kenyataan tersebut dan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar meneruskan usaha boikot sebagai satu usaha untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis laknatullah,” katanya dalam kenyataan.

Vincent sebelum ini berkata, tiada keperluan untuk memboikot jenama Starbucks berikutan pengumuman gencatan senjata di Gaza yang berkuat kuasa Ahad lalu.

Vincent memberi bayangan bahawa jenama tersebut akan kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Jadi untuk apa mahu boikot lagi Starbucks? Tidak ada keperluan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pulau Ketam pada Jumaat.

Selepas genjatan senjata di Gaza tak perlu lagi boikot Starbucks – Vincent

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here