KUALA LUMPUR – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Pernas International Franchise Festival (PIFF) 2025 pada 7 hingga 9 Februari ini.
Acara ini yang akan diadakan Dewan 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema, ‘Brew Your Success: Empowering Entrepreneurs’ akan menjadi platform bertaraf dunia untuk menghimpunkan usahawan, jenama francais, dan pemain utama industri kopi serta kafe.
Menurut Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin, festival julung kali ini bakal membuka ruang bagi para peserta untuk memperluaskan rangkaian, menimba ilmu, dan meneroka peluang dalam industri francais, khususnya sektor kopi dan kafe.
Beliau positif PIFF 2025 ini dapat menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, dengan potensi menjana pendapatan melebihi RM2 juta, sekali gus membuktikan kekuatan dan daya tarikan sektor francais di Malaysia.
“PIFF 2025 adalah lebih daripada sekadar festival. Ia adalah cerminan komitmen Pernas untuk menginspirasi, memperkasakan keusahawanan, dan memacu pertumbuhan sektor francais, khususnya kopi dan kafe.
“Dengan permintaan yang semakin meningkat, kami percaya festival ini akan membuka peluang besar kepada usahawan untuk menjalin kerjasama, mengakses pembiayaan, dan menembusi pasaran global,” katanya dalam sidang media pengumuman PIFF 2025 petang tadi.
Tambah beliau, pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 28 peratus dalam pasaran kedai kopi berjenama di Malaysia pada 2023 menjadi bukti industri ini berpotensi besar.
PIFF 2025 juga menjemput pempamer antarabangsa seperti China, Jerman, Taiwan, Indonesia, Thailand dan banyak lagi.
“Penganjuran PIFF 2025 pastinya memanfaatkan momentum ini dengan menyediakan platform inovasi, kolaborasi, dan peluang perniagaan baharu.
“Festival ini juga membuka peluang kepada pempamer dan usahawan untuk berhubung dengan rakan kongsi global, mengakses teknologi terkini, dan memperluaskan jenama mereka ke pasaran yang lebih luas,” ujarnya.
Untuk makluman, PIFF 2025 juga akan melancarkan Dasar Francais Negara (DFN) 2030, satu langkah strategik untuk memperkukuh industri francais Malaysia dengan lima teras termasuk memantapkan dasar dan tadbir urus francais, promosi francais sebagai model perniagaan utama dan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais.
PIFF 2025 memperkenalkan elemen ASEAN melalui penyertaan pempamer dari negara serantau, sempena Kepengerusian ASEAN tahun ini dengan beberapa aktiviti menarik pameran jenama kopi, teh, dan kafe dari dalam serta luar negara.
Terdapat sesi rangkaian perniagaan dan padanan strategik, aktiviti keluarga seperti pertandingan seni latte, cabaran barista, e-sukan, konsert mini, dan banyak lagi. -MalaysiaGazette