SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak bercadang untuk memberikan tol secara percuma menjelang musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, bermula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu masih terpakai dan berpandukan kepada keputusan yang dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet, tahun lalu.
“Tol percuma akan kita umum dalam masa (terdekat), tapi tahun lepas kita telah putuskan, semua patutnya sedia maklum.
“Kerajaan telah memutuskan 2024 adalah tahun terakhir tol di masa perayaan. Ikut keputusan itu, tiada, kalau ada, mungkin ada pertimbangan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jajaran Seksyen 2, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Sazali Harun.
Hadir sama, Pengerusi West Coast Expressway, Datuk Ir. Hamzah Hasan; Ketua Eksekutif, IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai dan Pengarah Urusan West Coast Expressway, Lyndon Alfred Felix.
Terdahulu, Nanta mengumumkan pemberian tol percuma di Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE di kedua-dua arah selama sebulan, bermula 12.01 tengah malam, Rabu.
Pemberian tol percuma itu sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) sahaja. – MalaysiaGazette