KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 naik kepada RM3.43 seliter manakala diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.13 seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Januari ini.
Kementerian Kewangan berkata, kenaikan lima sen itu seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia
Meskipun begitu, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter.
Manakala harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter.
Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada paras RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette