AMPANG – Seorang wanita yang juga ibu kepada seorang kanak-kanak berusia enam tahun mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera dan mengabaikan anak kandung lelaki berusia enam tahun sehingga meninggal dunia baru-baru ini.
Susulan itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berkuatkuasa hari ini terhadap Wan Norazmalia Wan Mahmod, 25, selain perintah ikat jamin bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Norshila juga memerintahkan wanita itu yang juga mempunyai seorang lagi anak berusia enam bulan supaya dilarang hak penjagaan dan pemeliharaan kanak-kanak selama lima tahun selepas selesai menjalani hukuman penjaranya.
Ketika prosiding hari ini, tertuduh yang tanpa kehadiran keluarga kelihatan menangis sambil mengelap mata dan hanya tunduk sepanjang bicara pagi tadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang sebagai orang memiliki pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dua bulan itu telah dengan sengaja mendedahkan mangsa dengan cara yang menyebabkan kecederaan fizikal dengan memukul, mencubit dan menampar sehingga mangsa meninggal dunia.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Zamrud, Ampang antara jam 2 petang 8 Januari hingga 6 petang 9 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Sesyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketika prosiding, peguam mewakili tertuduh, Muhammad Aidil Akmal merayu supaya mahkamah mengambil beberapa aspek bagi meringankan hukuman anak guamnnya.
Kata Muhammad Aidil, anak guamnya kini dalam proses perceraian dengan suaminya, selain masih lagi menyusukan anak yang berusia enam.
“Yang Arif, anak guam sudah mengaku salah dan sangat menyesal dengan apa yang telah terjadi serta tidak akan melakukan perbuatan seumpama ini lagi. Dia juga tidak bekerja terpaksa menjaga kedua-dua anaknya ketika suami berpisah dengannya. Mohon mahkamah ringankan demi masa depan anak kecil itu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin menegaskan hukuman berat dan setimpal perlu diberikan kepada tertuduh supaya ia menjadi pengajaran pada masa hadapan.
Muhammad Hairuliqram berkata, tindakan tertuduh seperti memukul dan mencubit anak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal hingga mangsa itu meninggal bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
“Ini adalah satu kesalahan serius, sanggup pukul, cubit, tampar anak kandung sendiri hingga mati. Pengakuan bersalah bukanlah satu alasan untuk tertuduh mendapat hukuman lebih rendah sebaliknya hukuman setimpal adalah wajar supaya tidak lagi bertindak mencederakan kanak-kanak lagi,” tegasnya.
Sementara itu, teman lelaki wanita itu, Muhammad Reza Zainurin, 35, didakwa atas kesalahan membunuh kanak-kanak tersebut.
Mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Dia didakwa membunuh kanak-kanak berusia enam tahun dua bulan antara jam 2.36 petang pada 10 Januari lepas mengikut Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan.
Mahkamah menetapkan 24 Mac depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan teman lelaki di Taman Bukit Ampang baru-baru ini.
Hasil pemeriksaan polis bersama anggota paramedik mendapati mangsa meninggal dunia di rumah terbabit dan terdapat kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki. – MalaysiaGazette