GEORGE TOWN – Sub inspektor polis dan dua lelaki Bangladesh direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan wang jumlah RM29,000.
Perintah tahanan reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini, selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM menahan sub inspektor dan seorang lelaki Bangladesh tengah hari semalam ketika mereka hadir memberi keterangan manakala seorang lagi suspek ditahan malam tadi.
Menurut sumber, sub inspektor berusia 55 tahun dan dua lelaki Bangladesh masing-masing berumur 44 serta 52 tahun itu dikatakan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kes pergaduhan seorang warga Bangladesh.
“Kes berlaku pada 2022 dan tahun lepas, dan pada tahun 2022 pegawai rendah polis itu meminta wang rasuah berjumlah RM22,000 daripada pengadu namun kes tersebut tetap berjalan.
“Susulan itu, pada 2024, suspek dikatakan meminta wang berjumlah RM10,000 atas alasan mahu menyelesaikan kes sebelum pengadu menyerahkan RM7,000 kepada mereka,” katanya.
Tambah sumber, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(b)Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette