DAVOS, Switzerland – Kepentingan tadbir urus dan akauntabiliti kepimpinan di Malaysia antara keutamaan tertinggi pentadbiran Kerajaan Madani, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, banyak negara telah dimusnahkan akibat keangkuhan dan rasuah para pemimpin mereka, sambil menegaskan bahawa kepimpinan berkesan perlu berlandaskan kerendahan hari dan komitmen untuk menangani rasuah secara langsung.
“Kami mewarisi beberapa isu dan skandal daripada masa lepas, jadi kami perlu menjadi lebih tegas tentang itu, yang mana ia mencabar, khususnya apabila rasuah disifatkan sebagai sistemik.
“Proses tender perlu telus dan perlu ada suruhanjaya pencegahan rasuah yang efektif dengan perundangan yang mencukupi dan kuasa yang mencukupi, saya fikir itu harus menjadi permulaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam dialog eksklusif khas bertajuk ‘A Conversation with Anwar Ibrahim’ yang dikendalikan Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Forum Ekonomi Dunia (WEF) Prof Klaus Schwab sebagai moderator hari ini. – Bernama