KUALA LUMPUR Keputusan kerajaan untuk menamatkan pengecualian tol lebuh raya semasa musim perayaan seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam disifatkan sebagai langkah betul.
Seorang aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata, memberi pengecualian tol untuk tempoh perjalanan balik kampung Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas ketika lalu lintas berada pada kemuncak ibarat mencurah minyak tanah ke api.
“Ini adalah keputusan tepat oleh kerajaan untuk menghentikan laluan percuma di lebuh raya kerana jelas duit pembayar cukai digunakan untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya akibat hari bebas tol,” katanya yang juga bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Beliau menyifatkan pendekatan bebas tol untuk tempoh perjalanan balik kampung musim perayaan, sepertimana yang diperkenalkan oleh pentadbiran terdahulu di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada April 2022 dan diteruskan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah satu dasar yang tidak produktif dan tidak wajar.
Jelasnya, pengecualian tol hanya menjejaskan kemampanan pengangkutan, pengurusan trafik yang cekap dan menyumbang kepada kesesakan jalan raya teruk di lebuh raya dan jalan persekutuan atau negeri.
Akibat jumlah lalu lintas jalan raya yang begitu tinggi di lebuh raya, seterusnya melimpah ke jalan utama dan sekunder dan kerap kali menyebabkan keadaan lalu lintas merangkak teruk di bandar dan kawasan luar bandar atau kampung.
Contoh yang jelas ialah perjalanan selama 24 jam dari Lembah Klang ke Kelantan yang meletihkan minda dan fizikal pemandu serta para penumpang. Bayangkan risiko tinggi keselamatan di jalan raya apabila pemandu lesu.
Shahrim berkata, pendekatan bebas tol bukan sahaja meningkatkan kesesakan lalu lintas dan mengakibatkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi sekali gus juga membawa kepada peningkatan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran udara.
Berdasarkan kajian ilmiah, kenderaan pengangkutan menyumbang lebih 70% daripada pencemaran udara di kawasan bandar dan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada jumlah pelepasan karbon dioksida di Malaysia sebanyak 21% pada 2016.
Untuk rekod, Malaysia telah membuat ikrar pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) pada 2021 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Demi kepentingan rakyat Malaysia secara amnya, Shahrim menegaskan, RM540 juta wang pembayar cukai bagi tujuan hari bebas tol sejak tiga tahun lalu harus disalurkan secara bersungguh-sungguh kepada rakyat marhaen dalam menggunakan pelbagai mod pengangkutan awam darat.
“Dengan duit pembayar cukai tersebut, kerajaan harus menggalakkan perkhidmatan bas ekspres atau bas sewa khas serta perkhidmatan rel melalui tawaran baucar tiket elektronik atau tambang diskaun,” ujarnya.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan diminta menggunakan RM180 juta (secara purata setahun untuk tujuan hari bebas tol) kepada usaha menyelamatkan nyawa rakyat marhaen.
“Dalam situasi yang ideal dan sekiranya Kerajaan Persekutuan serius mahu melaksanakan subsidi bersasar, maka ia perlu disalurkan untuk penggunaan sasaran lancar pengangkutan awam antara negeri dengan menawarkan baucar atau tambang murah kepada golongan yang benar-benar memerlukan perjalanan yang selamat seperti kumpulan pengguna motosikal.
“Jangan kita lupa bahawa penunggang motosikal adalah kumpulan yang senantiasa merekodkan jumlah kematian jalan raya tertinggi pada musim perayaan.
“Contohnya dalam tempoh balik kampung Hari Raya, jika terdapat 24 kematian di jalan raya pada setiap hari, 20 daripadanya adalah pengguna motosikal,” Shahrim mengingatkan.
Tegasnya, RM180 juta setahun seharusnya disalurkan dengan bersungguh-sungguh semasa musim perayaan untuk pengembara ke Sabah dan Sarawak dan juga ke utara, selatan dan timur Semenanjung terutama untuk golongan berpendapatan rendah dan para pelajar institusi pengajian tinggi.
“Subsidi bersasar sepertimana kerajaan ingin melaksanakan boleh diperluaskan untuk rakyat marhaen dengan menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan perkhidmatan landasan berkembar utara-selatan yang dijangka siap tidak lama lagi.
“Ia adalah situasi menang-menang yang boleh membantu negara jika Kerajaan Persekutuan tekad untuk laksana perkara yang bernas dan bukannya cenderung kepada keputusan popular apabila menggunakan wang pembayar cukai,” tambah Shahrim. – MalaysiaGazette