GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad telah menyelesaikan pembayaran sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada tiga pemimpin DAP susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau telah memfitnah semasa kempen Pilihan Raya Kecil Kemaman, Terengganu.
Pembayaran ganti rugi itu dibuat semalam melalui penyerahan cek kepada peguam, Datuk Sankara Nair mewakili veteran DAP, Lim Kit Siang, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Perkara itu dimaklumkan peguam Siti Mastura, Yusfarizal Yusoff di Mahkamah Tinggi hari ini ketika permohonannya untuk menangguhkan penghakiman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan dikemukakan di hadapan Hakim Quay Chew Soon.
Terdahulu, Yusfarizal dan Sankara mengadakan pertemuan dengan Hakim Mahkamah Tinggi, Chew Soon di kamar mahkamah.
Yusfarizal berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan berhubung perkara tersebut.
“Anak guam saya telah pun membuat pembayaran kepada akaun firma guaman Sankara dengan syarat wang tersebut akan disimpan di dalam akaun peguam sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Itulah persetujuan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Tambah Yusfarizal, Mahkamah Rayuan menetapkan 13 Mac depan untuk mendengar rayuan Siti Mastura.
ARTIKEL BERKAITAN
MP Kepala Batas diarah bayar RM825,000 kepada Kit Siang, Guan Eng dan Teresa Kok
Pada 4 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinanh mengarahkan Siti Mastura membayar RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, RM200,000 kepada Kok, dan RM25,000 sebagai kos guaman kepada setiap seorang.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Quay Chew Soon memutuskan demikian selepas tiga pemimpin DAP itu selaku plaintif berjaya membuktikan elemen fitnah dalam tuntutannya terhadap Siti Mastura selaku defendan.
Dalam keputusan penghakiman, Chew Soon mendapati Siti Mastura bertindak dengan niat jahat dan pembelaan terhadap beliau berdasarkan alasan komen adil tidak dapat diterima.
Siti Mastura sebelum ini memohon penangguhan pelaksanaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi tersebut. – MalaysiaGazette