PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini selesai mendengar keterangan Datuk Seri Najib Razak selepas 26 hari membela diri pada perbicaraan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu, pihaknya akan memanggil 25 lagi saksi termasuk individu yang mengadakan pertemuan dengan kerabat diraja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah bagi menyokong pembelaan Najib.
Nama Almarhum disebut beberapa kali pada perbicaraan itu sebagai individu yang memberikan derma politik kepada bekas Perdana Menteri yang dimasukkan dalam akaun peribadinya.
Selain itu, beberapa lagi saksi termasuk peguam juga akan memberi keterangan pada prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Bekas Perdana Menteri selaku saksi pembelaan pertama (DW1) mula mengemukakan keterangan bela diri pada 2 Disember tahun lalu dengan membaca pernyataan saksi setebal 678 muka surat pada sesi pemeriksaan utama.
Pada pemeriksaan utama, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan memberi keterangan dan disoal oleh pasukan pembelaan diketuai Muhammad Shafee selama 12 hari.
Beliau kemudian disoal balas oleh pasukan pendakwaan antaranya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan T. Deepa Nair yang mengambil masa selama lapan hari.
Pada awalnya, prosiding terhadap bekas Perdana Menteri dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum perbicaraan dipindahkan ke Istana Kehakiman bermula 6 Januari lalu.
Najib, 71, menjawab empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan disambung pada 10 Februari ini. – MalaysiaGazette.