KUANTAN – Seorang sami berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki serta menyimpan video lucah.
Tertuduh, Shanmugam A/L Superaniam bagaimanapun tidak mengaku bersalah bagi kedua-dua kesalahan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut kertas pertuduhan, bagi kesalahan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menunjukkan kemaluannya kepada seorang remaja lelaki.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukannya dalam tempoh bermula 15 February hingga 17 Februari 2024 kira-kira pukul 11.30 malam di Bilik Khas Sami di sebuah kuil di sekitar daerah ini.
Bagi kesalahan tersebut, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2016 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun serta denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh didakwa mempunyai kandungan video lucah yang disimpan dalam telefon pintarnya pada 15 Februari 2024 kira-kira pukul 11.30 malam di tempat sama.
Bagi kesalahan tersebut, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan di mana dia boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam Kumaraselvam Sanderan.
Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia tidak boleh mengganggu mangsa, pengadu, saksi atau bukti berkaitan kes terbabit.
Mahkamah menetapkan 25 Februari depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan. – MalaysiaGazette