KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menyokong hasrat sekumpulan mahasiswa yang ingin berhimpun secara aman Sabtu ini.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata perhimpunan itu tidak patut dihalang kerana selaras dengan hak demokrasi yang perlu dihormati di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).
“Di mana-mana negara demokrasi, perhimpunan aman adalah satu amalan yang biasa. MCA dan Barisan Nasional (BN) faham dan akan sentiasa menghormati prinsip demokrasi ini.
“MCA dan BN tidak pernah dan tidak akan menafikan hak demokrasi rakyat untuk berhimpun, selagi tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan.
Malah katanya, Akta Perhimpunan Aman digubal sebelum ini selepas beberapa siri demonstrasi jalanan yang turut disokong oleh parti yang kini menjadi kerajaan.
“Kerajaan diingatkan bahawa Akta Perhimpunan Aman ini digubal selepas siri demonstrasi jalanan yang dianjurkan seperti Bersih 1.0 pada 2007 dan Bersih 2.0 pada 2011; Perhimpunan Hindraf pada 2007 dan Himpunan Anti ISA pada 2009, serta menerima sokongan penuh oleh parti-parti pembangkang pada masa itu, yang kini merupakan sebahagian kerajaan perpaduan,” jelas beliau.
Tambah Neow, beliau yakin penganjur mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau menegaskan MCA bukan hanya menentang rasuah malah sehingga kini tiada pemimpin daripada parti tersebut yang terpalit dengan jenayah kolar putih.
“Mungkin akan ada yang mengecam kami kerana kononnya tidak melawan rasuah semasa berkuasa. Namun perlu diingatkan, tiada pemimpin MCA yang terpalit dengan gejala rasuah mahupun kronisme sekalipun.
“Sekiranya ada, MCA tak akan melindungi tindakan yang salah dan individu tersebut perlu berhadapan dengan proses undang-undang yang adil dan tanpa campur tangan politik,” tambahnya.
Parti berkenaan ujarnya lagi turut memandang serius pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyifatkan terdapat pendakwaan beberapa kes yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai cacat.
Sebagai rekod, Himpunan Rakyat Benci Rasuah dijadual berlangsung esok di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Sehingga kini, polis mengesahkan pihak penganjur masih belum menghantar kembali notis himpunan yang lengkap.-MalaysiaGazette