Antara aktiviti yang disediakan pada Program Hari TVET Negara di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2024.

PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten.
Namun, kemahiran teknikal sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kejayaan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks. Di sinilah peranan bahasa ketiga
menjadi sangat penting sebagai pelengkap kepada TVET.

Kemahiran berkomunikasi adalah asas kepada kejayaan dalam mana-mana bidang pekerjaan. Pelajar tidak hanya bergantung pada kemahiran yang dimiliki kerana
dengan kemahiran sahaja, pelajar tidak mampu untuk bergerak terus ke hadapan. Melangkah keluar dari universiti setelah bergraduasi pastinya memerlukan
kemahiran bahasa yang diaplikasi untuk memohon pekerjaan sama ada dalam negara mahupun luar negara.

Menulis resume dengan bahasa yang betul sangat penting. Seterusnya, kemahiran berkomunikasi ketika saat ditemu duga bakal majikan juga sememangnya perlu dijalankan dengan menggunakan bahasa yang baik dan teratur. Dalam konteks TVET, penguasaan bahasa ketiga seperti bahasa Arab, Jerman, Mandarin atau bahasa lain yang relevan membantu pelajar berkomunikasi dengan jelas dan efektif di peringkat antarabangsa. Ini termasuk kemampuan untuk menyampaikan idea, memberi arahan dan berinteraksi dengan rakan sekerja serta pelanggan dari pelbagai negara.

Menguasai bahasa ketiga yang baik membantu dalam mengelakkan salah faham dan meningkatkan produktiviti serta dapat membantu majikan untuk meluaskan lagi pasaran di luar negara. Bahasa ketiga juga memainkan peranan penting dalam pembelajaran berterusan. Dalam dunia yang sentiasa berubah, pekerja perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan dan kemahiran mereka.

Pelajar sudah dibekalkan dengan asas pengetahuan bahasa ketiga di peringkat universiti. Jadi, apabila telah berada dalam bidang kerjaya, menjadi kemestian untuk para pekerja terus mengasah dan meluaskan pengetahuan dalam bahasa ketiga. Ini dapat membantu mereka untuk membaca dan memahami bahan-bahan teknikal dalam bahasa ketiga, mengikuti kursus dalam talian dan berbincang serta berkomunikasi dengan pakar dalam
bidang tertentu.

Pada masa yang sama, ia juga dapat membantu perkembangan profesional para pekerja. Menjadi satu bonus kepada majikan dan pekerja apabila mempunyai pengetahuan bahasa ketiga yang baik serta dapat memahaminya. Ia memudahkan akses kepada sumber-sumber pembelajaran global tanpa batasan. Dalam pelbagai situasi kerja, kebersamaan dan kerja berpasukan adalah kunci kepada kejayaan sesebuah projek. Kemahiran bahasa ketiga yang baik membantu dalam membina hubungan profesional dengan rakan sekerja dari pelbagai negara, selain dapat memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, serta menyelesaikan konflik dengan cara yang konstruktif.

Ini semua menyumbang kepada persekitaran kerja yang harmonis dan produktif di peringkat antarabangsa. Kita juga dapat bekerjasama dan meraikan kepelbagaian pendapat walaupun dalam suasana pekerja yang datang dari pelbagai latar belakang negara. Dalam dunia globalisasi, pekerja juga sering kali perlu berinteraksi dengan individu dari pelbagai latar belakang budaya.

Penguasaan bahasa ketiga yang baik membantu dalam memahami dan menghormati perbezaan budaya, serta menyesuaikan diri dengan norma-norma komunikasi yang berbeza. Ini kerana kita bukan sahaja perlu menguasai sesuatu bahasa ketiga, malah kita juga patut mengenali budaya bahasa ketiga tersebut. Ini penting untuk membina hubungan yang baik dan mengelakkan salah faham komunikasi yang boleh menjejaskan kerjasama antarabangsa.

Akhir sekali, kemahiran bahasa ketiga yang baik meningkatkan daya saing individu dalam pasaran kerja global. Majikan masa kini dilihat lebih cenderung untuk memilih pekerja yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal yang luas, tetapi juga mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa ketiga. Ini adalah kerana, pekerja yang mempunyai kemahiran dan menguasai bahasa ketiga dengan baik lebih mudah untuk dilatih, lebih fleksibel dan mampu mengambil peranan yang lebih luas dalam organisasi antarabangsa.

Bahasa ketiga adalah pelengkap yang tidak boleh diabaikan dalam TVET. Ia bukan sahaja membantu dalam komunikasi dan pembelajaran, tetapi juga dalam membina
kerjasama, menyesuaikan diri dengan budaya yang berbeza dan meningkatkan daya saing individu di peringkat global. Oleh itu, integrasi kemahiran bahasa ketiga
dalam kurikulum TVET adalah penting untuk melahirkan tenaga kerja yang holistik dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang dinamik.

 

 

Nurulisyazila binti Othaman
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here