KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa kehilangan peluang keemasan untuk melakukan pembaharuan fiskal dengan menarik balik keputusan untuk tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk tol lebuh raya semasa tempoh perjalanan musim perayaan.
Aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan, Shahrim Tamrin berkata, keputusan terbaru kerajaan untuk menawarkan diskaun tol 50% kepada pengguna lebuh raya adalah langkah mundur.
“Ia sepatutnya menjadi permulaan yang baik untuk 2025 bagi kerajaan untuk tidak terlibat dalam perihal politik-ekonomi di sebalik dasar yang mementingkan penggunaan kenderaan persendirian yang mana wang pembayar cukai harus disalurkan untuk tujuan lain yang lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Kerajaan membelanjakan RM200 juta pada 2023 dan RM190 juta tahun lalu untuk tol percuma semasa perjalanan balik kampung musim perayaan.
“Dijangkakan sehingga akhir tahun ini, kerajaan akan membelanjakan RM640 juta wang pembayar cukai untuk pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya sejak lima tahun lepas,” kata Shahrim, yang juga bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) selama tiga tahun.
Menyifatkan diskaun lebuh raya atau hari bebas tol sebagai perkembangan tidak sihat kepada budaya pergantungan kereta, Shahrim berkata, keputusan pusingan-U menggunakan wang pembayar cukai untuk perjalanan lebuh raya akan memberi kesan negatif.
“Kemungkinan besar akan ada lebih banyak perbelanjaan yang tidak perlu oleh kerajaan untuk tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, yang bukan sahaja menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian tetapi ia akan mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk, pencemaran udara dan pencemaran bunyi.
“Sebelum ini, tanpa diskaun atau tiada hari bebas tol, orang ramai tetap pasti menggembara semasa tempoh perayaan seperti mana yang jelas dilihat selama ini,” tegas Shahrim, sambil menambah diskaun tol adalah keputusan tidak adil kepada golongan rakyat yang pulang ke Sabah dan Sarawak.
Beliau berpendapat jumlah besar RM640 juta duit pembayar cukai sepatutnya digunakan dengan lebih mampan dan berhemah untuk tujuan lain seperti membeli set kereta api baru atau menambah stok gerabak kereta api ETS atau KTM komuter antara Arau, Butterworth dan Ipoh yang kini mengalami perkhidmatan terhad.
Selain itu menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam percuma untuk pelajar menengah untuk menyelamatkan mereka dari bahaya menunggang motosikal ke sekolah atau membeli lebih banyak mesin timbang mudah alih atau ‘weigh-in-motion’ (WIM) untuk membendung masalah lebih muatan kenderaan berat di seluruh negara.
Kerajaan juga boleh memberi subsidi kepada pengendali sekolah dan bas henti-henti untuk perkhidmatan pengangkutan awam komuniti bandar dan luar bandar, menyelesaikan isu destinasi akhir (first-mile-last-mile) dengan memberi lebih banyak ruang untuk mobiliti mikro dan tambahan perkhidmatan bas pengantara KTM, MRT dan LRT dalam lingkungan 10 kilometer di setiap stesen dan menganjurkan program komunikasi dan kesedaran keselamatan jalan raya di lima daerah paling buruk dengan kematian tertinggi di negara ini.
Selain itu, menambah baik klinik kesihatan atau klinik komuniti yang sedang mengalami banyak masalah (Menteri Besar Johor ada melawat beberapa klinik kerajaan tahun lepas), membaiki atau membina beberapa jambatan di Sabah untuk murid-murid pergi ke sekolah dan laluan yang lebih baik untuk masyarakat luar bandar dan memberi lebih banyak peruntukan untuk membaiki jalan persekutuan di bawah JKR.
Dalam pada itu, Shahrim tidak menolak kemungkinan kewibawaan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah diganggu berikutan pengumumannya pada 21 Januari, 2025, seolah-olah wujud kecelaruan dalam kalangan anggota Kabinet dan mereka yang bertanggungjawab ke atas komunikasi mengenai keputusan Kabinet yang telah dicapai berkenaan pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.
Katanya, selepas perasmian rasmi Seksyen 2 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Selasa lalu, Alexander memaklumkan kepada wartawan Kabinet telah memutuskan pada tahun lepas bahawa tiada lagi peruntukan tol percuma untuk musim perayaan pada 2025.
Alexander menyatakan kerajaan sedang mengkaji pendekatan yang lebih bersasar untuk membantu rakyat menggantikan kaedah pemberian tol percuma ketika musim perayaan.
Sehari kemudian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan keputusan menghentikan pemberian tol percuma semasa perayaan adalah keputusan Kabinet berikutan saranan dan cadangan Menteri Kerja Raya.
Jelas Zahid, tol percuma pada musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuhraya, malah kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat-syarikat lebuh raya.
“Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam selepas kenyataan Zahid Hamidi dan Alexander, Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan keputusan Kabinet akan dikaji semula dan keputusan baru bakal dicapai di mesyuarat Kabinet pada dua hari lalu.
“Apabila seorang Timbalan Menteri Kerja Raya membuat pengumuman berlainan sebagai tindak balas kepada kenyataan Menteri Kerja Raya dan Menteri Komunikasi juga menyatakan Kabinet mungkin membatalkan keputusan yang dicapai tahun lepas, para pemerhati tidak akan dapat lari dari bersangka terdapat hubungan tidak serasi atau kecelaruan komunikasi antara menteri dan terdapat sesuatu yang tidak kena di dalam jentera kerajaan.
“Mari kita berdoa dan berharap Kerajaan Persekutuan selepas ini tekad untuk laksana perkara yang tepat dan bernas dan bukannya cenderung ke arah keputusan popular apabila menggunakan duit pembayar cukai,” ujar beliau. – MalaysiaGazette