LAGOS – Seramai 38 orang cedera, termasuk enam dimasukkan ke hospital, selepas penerbangan United Airlines dari Nigeria ke Washington menghadapi masalah di udara, baru-baru ini.
Kejadian kecemasan yang berlaku masih tidak jelas, tetapi video menunjukkan kabin penumpang Boeing 787-8 itu dalam keadaan kelam-kabut dengan dulang makanan dan makanan bertaburan di atas lantai dan bahagian atas dalam pesawat terjatuh dari siling, menurut NBC News.
Seorang penumpang menceritakan, keadaan cemas berlaku ketika makanan sedang dihidang, apabila pesawat secara tiba-tiba kehilangan tekanan dan menurun secara ketara sebanyak tiga kali.
Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Persekutuan Nigeria melaporkan penerbangan United berlepas dari Lagos pada 11.59 malam. waktu tempatan pada hari Khamis lalu dan kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed pada 3.22 pagi Jumaat selepas kecemasan berlaku “beberapa jam” dalam penerbangan.
United Airlines dalam satu kenyataan berkata, Penerbangan 613, membawa 245 penumpang, lapan anak kapal, dan tiga juruterbang, selamat kembali ke Lagos selepas mengalami “isu teknikal dan pergerakan pesawat yang tidak dijangka.”
Syarikat penerbangan itu melaporkan, enam individu yang dimasukkan ke hospital termasuk empat penumpang dan dua pramugari yang mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa lapangan terbang Nigeria menyatakan enam orang itu mengalami kecederaan “serius” dan telah stabil di kemudahan perubatan tempatan sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess di Ikeja.
Selain itu, 27 penumpang dan lima anak kapal mengalami kecederaan ringan dan menerima pertolongan cemas.
Pesawat itu tidak mengalami kerosakan besar, menurut pihak berkuasa lapangan terbang Nigeria.
Pesawat itu dalam penerbangan selama 3 jam dan 36 minit, menurut FlightAware FlightAware. – Agensi
United Airlines mengesahkan ia bekerjasama dengan pihak berkuasa Nigeria dan Amerika Syarikat untuk menyiasat punca kejadian. – Agensi