JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melihat kesesuaian dasar penjualan minuman keras di premis perniagaan bawah pentadbirannya jika terdapat aduan awam.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, kesesuaian dasar itu akan dilihat dari masa ke semasa bergantung kepada aduan awam yang diterima.
Jelasnya, daripada segi lesen penjualan arak termasuk ‘liquor’ dan ‘wine’ terutama lesen arak runcit atau borong berada di bawah bidang kuasa pejabat daerah.
“MBJB akan kekalkan dahulu (dasar penjualan arak) serta akan lihat kesesuaian (dasar) dari masa ke semasa.
“MBJB bertanggungjawab memberi ulasan lebih kepada kesesuaian lokasi sesuatu aktiviti penjualan arak dijalankan terutama dari segi pematuhan radius 200 meter daripada kawasan perumahan, institusi pendidikan dan rumah ibadat.
“Kita akan menyemak sama ada lokasi yang dipohon (penjualan arak) mempunyai sebarang aduan awam termasuk daripada segi kacau ganggu dan sebagainya.
“Kita tiada halangan menyokong perkara ini (penjualan arak), jika ia memenuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB yang pertama tahun ini di Menara MBJB, di sini hari ini.
Semalam, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada berhubung isu penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ini bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum serta mengelakkan isu itu menjadi polemik politik.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.- MalaysiaGazette