Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer melepaskan para peserta pada larian MAIWP Run 2025 di Dataran MOF, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2025.

PUTRAJAYA – Lebih 10,000 peserta mengambil peluang menyertai larian MAIWP RUN 2025 yang di adakan di Dataran Wawasan di sini semalam.

Ia merupakan sebuah acara anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Koperasi PPZ Bhd (KoPPZ).

Mereka yang menyertai larian itu bukan sahaja terdiri dalam kalangan warga tempatan sebaliknya turut mendapat sambutan penyertaan daripada peserta luar negara.

Acara tahun ini juga lebih meriah dengan penyertaan peserta dalam kalangan orang kurang Upaya (OKU).

Pengerusi MAIWP, Syed Kamaruzaman Syed Kabeer berkata, sebanyak 10,123 penyertaan diterima pada tahun ini dalam pelbagai kategori, menjadikan ia acara paling ramai disertai sejak diadakan tiga tahun lepas.

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer bercakap pada media berkenaan larian MAIWP Run 2025 di Dataran MOF, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2025.

Katanya, antara peserta yang menyertai larian itu terdiri daripada Kenya, India, Vietnam, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Alhamdulillah, ini merupakan satu fungsi yang amat baik untuk kita mempromosikan kesihatan dalam kalangan komuniti kita dan juga masyarakat.

“Kita ada beberapa siri larian antaranya, larian bagi 21 kilometer (km) dengan penyertaan sebanyak 2,000 peserta, 10km (1,741) peserta, 5km (2,617) peserta dan 3km (3,785) peserta,” katanya kepada media ketika ditemui selepas larian itu di sini semalam.

Mengulas lanjut, Syed Kamarulzaman berkata, untuk larian kali ini penyertaan dalam kalangan wanita lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebahagian peserta menyertai larian MAIWP Run 2025 di Dataran MOF, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2025.

Malah kata beliau, lebih memeriahkan lagi apabila larian itu turut mendapat penyertaan dalam kalangan OKU.

Dalam pada itu, beliau berkata, apa yang diharapkan daripada penganjuran larian tersebut ialah impak untuk mendekatkan komuniti serta masyarakat dengan MAIWP.

Katanya, jalinan erat yang berkesan telahpun membawa kejayaan kepada MAIWP apabila berjaya membuat pungutan zakat sebanyak RM1.113 bilion pada tahun lepas yang telahpun diagihkan kepada para penerimanya.

“Alhamdulillah, ini menunjukkan antara aktiviti yang kita lakukan dalam kalangan masyarakat dan komuniti telah memberikan impak yang sangat berkesan kepada mereka,” ujarnya.

Terdahulu, peserta bagi program tersebut tidak patah semangat untuk tetap menyertai larian meskipun dalam keadaan hujan lebat sejak awal pagi.

Sebahagian peserta menyertai larian MAIWP Run 2025 di Dataran MOF, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JANUARI 2025.

Lensa MalaysiaGazette yang tertumpu kepada kumpulan peserta larian mendapati, kesemua mereka tidak endah dengan cuaca sedemikian sebaliknya tetap meredah dengan penuh semanagat.

Kesemua peserta telah berkumpul di tempat pelepasan sejak pukul 6 pagi dan flag off larian dimulakan pukul 7.15 pagi dengan disempurnakan oleh Syed Kamarulzaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here