KLUANG – Polis akan beri tumpuan di tiga kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut di daerah ini dalam Ops Selamat selama enam hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ini melibatkan Kilometer 47 Jalan Batu Pahat-Mersing (antara Batu Pahat-Kluang), Kilometer 9.5 Jalan Kluang-Teck Wah Heng (Jalan ke Renggam) dan kilometer 61 Jalan Batu Pahat-Mersing (antara Kluang ke Kahang).
“Turut menjadi tumpuan ada empat kawasan panas yang sering berlaku kemalangan di Kluang iaitu di kilometer 41 hingga 53 Jalan Batu Pahat-Mersing, Kilometer 72 hingga 74 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kilometer 1 hingga 10 Jalan Kluang-Teck Wah Heng dan Kilometer 86 hingga 88 Jalan Kota Tinggi-Kluang.
“Bagi penugasan sehingga 2 Februari nanti, seramai 600 anggota Polis akan ditugaskan untuk melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan melalui Ops Payung di kawasan-kawasan dinyatakan.
“Diharapkan semua pengguna jalan yang akan pulang bercuti sepanjang cuti Tahun Baru Cina ini memilih masa sesuai untuk perjalanan mereka selain memastikan diri dalam keadaan cergas,” katanya.
Bahrin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas bertemu orang ramai di sebuah pusat beli belah di bandar ini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung agar menjadikan jiran sebagai orang dimaklumkan sepanjang ketiadaan mereka selain melaporkan ke mana-mana balai polis berdekatan.
Ujarnya, memaklumkan kepada jiran adalah satu langkah wajar kerana mereka boleh memerhatikan apa sahaja yang berlaku di rumah mereka selain darpada pemantauan polis.- MalaysiaGazette