Sebahagian ahli Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysai (PeSAWAH) berkumpul dan melakukan demonstrasi aman sebelum menghantar memorandum kepada Perdana Menteri di Wisma Tani, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 JANUARI 2025.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysai (PeSAWAH) mendakwa harga lantai penjualan padi pada RM1,300 setan sudah tidak relevan.

Pengerusinya Abdul Rashid Yob berkata, kenaikan harga padi penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara.

Justeru itu, pihaknya meminta jaminan agar isu yang menghimpit para pesawah diselesaikan segera oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Harga lantai penjualan padi ketika ini yang telah ditetapkan pada 2023 sudah ketinggalan zaman serta tidak relevan dengan keadaan semasa berikutan kenaikan kos diesel dan benih,” katanya dalam sidang media di hadapan Wisma Tani, pagi ini.

Sebelum itu, sepuluh wakil PeSAWAH menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri dan diterima oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Chai Ming Kai.

Menurut Abdul Rashid, wakil Anwar itu berkata, pihaknya menerima memorandum tersebut dan mendakwa satu perbincangan akan dibuat antara kerajaan dengan PeSAWAH.

“Kita pinta PMX disegerakan campur tangan supaya penanam padi dapat harga yang kita tuntut, RM1,300 setan tahap rugi dengan pembelian tersebut.

“Menurut kepada pegawai PMO tadi, akan ada perbincangan antara PM dan kementerian dalam waktu terdekat, jadi kita minta disegerakan,” katanya.

Awal hari ini, PeSAWAH mengadakan demonstrasi aman di hadapan Wisma Tani bagi menuntut harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 untuk satu tan metrik.

Seramai 10 wakil PeSAWAH bergerak  ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.

Semalam, Anwar menasihatkan pesawah yang hendak berhimpun di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan memorandum supaya menangguhkannya ke suatu masa yang sesuai.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak menghalang mereka untuk berhimpun sebaliknya menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan ketika Lawatan Negara, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Justeru, Perdana Menteri mengarahkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk mengadakan perjumpaan dengan pesawah dan mengambil memorandum berkenaan untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here