Projek SHP Batang Kali menggunakan teknologi turbin dari Global Hydro, Austria dan generator dari Marelli Motori, Itali.

KUALA LUMPUR – Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali (SHP Batang Kali) kini contoh kerjasama terbaik antara kerajaan negeri dan syarikat swasta, Worldwide Holdings dalam mengurangkan jejak karbon dan menyokong tenaga bersih negara.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan pembinaan SHP Batang Kali adalah bukti kemampuan Malaysia menggunakan tenaga yang bersih dan mesra alam.

“Loji hidrokuasa kecil ini tidak hanya menunjukkan pembangunan infrastruktur, tetapi juga keupayaan kita menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan inovasi dan pembangunan lestari.

“Kejayaan projek ini hanya permulaan. Selangor sedang mencari potensi sungai lain untuk meluaskan penggunaan tenaga hidrokuasa kecil. Langkah ini akan meningkatkan kedudukan kita dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis perasmian SHP Batang Kali berlangsung baru-baru ini.

Amirudin menambah, berbanding dengan projek besar seperti loji hidrokuasa Pulau Indah yang menghasilkan tenaga sehingga 1,200 MW, SHP Batang Kali adalah lebih hijau kerana menggunakan tenaga alam iaitu sungai.

“Kapasiti yang dirancang adalah 5.1 megawatt dan ini akan memberi sumbangan yang mencukupi kepada bekalan tenaga negara.

“Tidak jauh dari sini, terdapat Loji Hidrokuasa Kecil Kerling dengan kapasiti sebanyak 4.5 megawatt dan melihat potensi pembangunan penuh, ia mampu menghasilkan 5.6 megawatt berbanding 5.1 megawatt yang sedia ada. Ini bermakna hampir 10 megawatt boleh dihasilkan melalui loji hidrokuasa kecil,” ujarnya.

Loji hidrokuasa kecil Batang Kali membuktikan keupayaan menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan inovasi dan pembangunan lestari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pihaknya berbangga kerana Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. 

“Meskipun berdepan cabaran seperti kedudukan yang berhampiran dengan resort, kami memastikan loji hidrokuasa ini direka dengan konsep landskap bagi memastikan tiada kesan negatif kepada kawasan sekitar.

“Ini membuktikan komitmen dan dedikasi pasukan kami dalam memastikan pembangunan tenaga boleh baharu dapat dilaksanakan dengan efisien serta dapat memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.

Loji hidrokuasa kecil yang memiliki kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 5.1MW itu terletak di kawasan seluas 3.5 ekar di Batang Kali, Hulu Selangor telah selesai menjalani ujian penjanaan dan tersambung grid pada 23 Disember 2024.

Tenaga yang dihasilkan disalurkan ke grid 33kV, diuruskanoleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di PMU Ulu Yam. Projek ini menggunakan teknologi turbin dari Global Hydro, Austria dan generator dari Marelli Motori, Itali.

Dengan manfaat kepada sehingga 13,000 kediaman dan pengurangan karbon hampir 200,000 tan dalam tempoh 21 tahun, projek ini menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi negara karbon neutral menjelang 2050.

Di samping itu, projek ini menyokong agenda nasional dan Pelan Peralihan Tenaga Nasional untuk mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 sekali gus mengukuhkan aspirasi Selangor untuk menjadi negeri rendah karbon serta memastikan bekalan elektrik stabil untuk negeri ini.

Sebagai syarikat konglomerat, Worldwide Holdings menerusi Worldwide Hydro Energy Sdn. Bhd komited untuk terus menyokong usaha pembangunan tenaga lestari demi manfaat generasi akan datang.

Worldwide Holdings Berhad adalah anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan sebuah konglomerat dengan empat sektor perniagaan utama iaitu Tenaga, Hartanah, Pengurusan Alam Sekitar dan Peranti Perubatan. 

Penglibatan Worldwide Holdings dalam sektor tenaga tertumpu kepada utiliti, terutamanya perniagaan berkaitan penjanaan tenaga, meliputi sumber tenaga terma dan tenaga boleh baharu (RE). 

Sebagai salah satu pemacu sektor tenaga di Selangor, WHB memberi tumpuan kepada tenaga hijau melalui pembangunan loji WTE, loji hidrokuasa kecil (SHP) dan pemasangan panel PV solar di bangunan kerajaan dan komersial di seluruh negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here