KUALA LUMPUR – Selepas isu penahanan atas dakwaan memiliki dadah, timbul pula kontroversi perkahwinan pelakon dan pelawak, Along Cham telah melafazkan cerai secara taklik terhadap isterinya hari ini.
Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dilaporkan melafazkan cerai taklik terhadap Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya pagi tadi.
Tindakannya dibuat susulan pelanggaran tiga perkara yang dipersetujui pasangan tersebut pada tahun lalu.
Antara taklik yang dilanggar Afreena adalah tidak patuh dan membelakangkan suami.
“Memang mengejutkan semua dan ibarat drama yang ada plot twist. Ini tindakan pertama saya lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ (penjara) semalam,” kata Along Cham dipetik sebagai berkata hari ini.
Mengulas lanjut, pelawak itu berkata, dia sepatutnya memfailkan cerai taklik pada 16 Disember tahun lalu namun terhalang apabila ditahan polis dua hari sebelumnya.
“Saya sampai tahap sudah habis sayang rumah tangga saya. Saya juga sudah beri peluang dan mengejutkan dia (isterinya) tetap melanggarnya, saya tidak sangka,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Along dan Afreena mendirikan umah tangga pada 4 April tahun lalu dan ia merupaka perkahwinan keduanya selepas lapan tahun menduda.
Mahkamah Sesyen Sepang semalam melepas tanpa membebaskannya (DNAA) Along atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis ditemui di kediamannya di Cyberjaya pada Disember tahun lalu.
Namun dia masih berdepan dengan dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah.- MalaysiaGazette