Muhammad Haziq Azfar
Haziq Azfar Ishak

KUALA LUMPUR – Sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempelawa Sekretariat Rakyat Benci Rasuah untuk berdialog secara terbuka.

Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar berkata pihaknya bersedia untuk berdialog dengan penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah bagi membincangkan subjek dan tuntutan yang dikemukakan dalam perhimpunan itu.

“Berbeza dengan implikasi yang dihadapi penganjur dan peserta setiap kali pasca penganjuran himpunan dengan pelbagai intimidasi daripada pihak penguasa pada waktu pentadbiran-pentadbiran yang lepas, pihak pemerintah kali ini pula wajar memulakan satu amalan baharu yang sebaliknya.

“Kerajaan melalui pelbagai organisasi wajar menganjurkan dialog dan perbahasan awam setiap kali pasca perhimpunan diadakan, khususnya bagi isu yang melibatkan kepentingan awam yang mendesak,” kata Haziq dalam satu kenyataan, hari ini.

Bertindak sebagai penganjur, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah pada Sabtu lalu mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

Setiausaha Sekretariat himpunan itu, Zaim Zulkifli, berkata tuntutan pertama yang akan dikemukakan adalah menggesa kerajaan menyegerakan pemisahan Pejabat Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau berkata, tuntutan kedua pula meminta kerajaan ‘membebaskan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dengan meletakkan entiti itu di bawah Parlimen dan seliaan rakyat.

Ketiga, pihaknya menggesa kerajaan menyegerakan Akta Pendanaan Politik di negara ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here