Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan langkah keselamatan yang lebih ketat di seluruh negara bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya, terutamanya semasa sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Gesaan tersebut timbul selepas pendedahan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 825 lori terlibat dalam kemalangan maut sepanjang 10 bulan pertama tahun lalu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kadar kemalangan jalan raya dan kematian yang berlaku sebenarnya boleh dielakkan dengan pelaksanaan langkah pencegahan yang lebih berkesan.

Menurutnya, penggunaan istilah “kemalangan” seolah-olah memberi gambaran bahawa kejadian tersebut tidak dapat dielakkan, sedangkan hakikatnya ia adalah akibat daripada kelemahan dalam sistem pengangkutan, reka bentuk jalan, keadaan kenderaan dan penguatkuasaan yang lemah.

Mohideen.
Mohideen.

“Kita tidak boleh terus menerima keadaan ini sebagai sesuatu yang biasa. Sikap acuh tak acuh terhadap isu ini hanya akan membawa kepada lebih banyak kehilangan nyawa.

“Faktor seperti kelajuan, sikap buruk pemandu, dan keadaan jalan yang buruk adalah punca utama kemalangan,” katanya hari ini.

Tambah Mohideen, walaupun keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak, kerajaan mesti memainkan peranan utama dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, jelas sekali pihak berkuasa sudah mengambil masa terlalu lama bagi mengkaji, merancang dan melaksana langkah yang diperlukan.

“Sehubungan itu CAP menggesa pembuat dasar dan agensi mengutamakan keselamatan jalan raya dan memberi perhatian lebih terhadap isu ini.

“CAP juga menyeru agar kerajaan memberi penekanan lebih terhadap penggunaan pengangkutan awam sebagai alternatif dalam mengurangkan kemalangan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Untuk rekod berdasarkan laporan PDRM, sebanyak 17,905 kemalangan maut dilaporkan dari Januari hingga Oktober 2024, yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan berat seperti lori. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here