Seorang pegawai dan anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan meminta dan memperoleh rasuah membabitkan jumlah RM75,000 pada 2022.

Mohd Khairul Saberi Nyan, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu sebagai pegawai polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa meminta suapan RM50,000 daripada seorang lelaki di pejabat jabatan berkenaan, pukul 6 petang, 12 Oktober 2022.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, lelaki itu didakwa memperoleh RM10,000 dan RM15,000 daripada individu yang sama masing-masing di sebuah restoran di Seri Alam pukul 9 malam, ni pada 5 Disember 2022 dan di sebuah stesen minyak di sini, pukul 2 petang, 14 Disember 2022.

Semua perbuatan itu didakwa dibuat sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes dihadapi individu berkenaan yang membabitkan tawaran perniagaan jual beli minyak diesel yang tidak wujud.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan memperoleh dan setuju menerima rasuah membabitkan RM5,000, tahun lalu.

Tertuduh, Michael Anak Umap, 50, sebagai anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) didakwa memperoleh bagi dirinya RM1,000 ke dalam akaun bank miliknya daripada seorang wanita di sebuah bank di Kluang.

Tertuduh turut didakwa setuju menerima suapan RM4,000 daripada wanita berkenaan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor, pada pukul 4.45 petang.

Kedua-dua perbuatan yang didakwa dilakukan pada 25 Ogos 2024 itu adalah sebagai dorongan bagi membantu mengurangkan hukuman ke atas bekas suami wanita itu yang sedang disiasat BSJ IPD JBS.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Atuffah Said.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Khairul Saberi diikat jamin sebanyak RM12,000, manakala Michael dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000.

Mereka turut dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah dan lapor diri di Pejabat SPRM Negeri Johor sebulan sekali.

Kedua-dua ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac ini bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here