KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengikuti rapat perkembangan lapan orang pelajar Malaysia yang terlibat dalam kemalangan dan kini sedang dirawat di Hospital Sayed Galal, Kaherah.
KPT dalam kenyataannya berkata, perkembangan situasi pelajar itu diikuti melalui Kementerian Luar Negeri menerusi Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM).
“Lima orang pelajar dilaporkan mengalami luka ringan dan dirawat di wad pesakit luar, Hospital Sayed Galal, Kaherah manakala tiga orang pelajar lagi ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu KPT memaklumkan, sistem pembangunan data telah disediakan melalui inisiatif pembangunan sistem MyData@EducationMalaysia4U oleh Jabatan Pendidikan Tinggi.
Katanya, pelajar amat digalakkan untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian ke dalam portal rasmi jabatan berkenaan bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat dan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Sebarang maklumat boleh terus berhubung dengan Education Malaysia Mesir di alamat Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), 26, Sabil Alkhazender St, From Abdou Basha Square, Abbasiah, Cairo, Arab Republic of Egypt atau telefon di nombor +00 202 2487 3858 atau e-mel di [email protected].
Education Malaysia Egypt dalam satu hantaran di Facebook, menyatakan kemalangan kereta menimpa lapan orang pelajar Malaysia pada Sabtu lalu.
Lima pelajar itu ialah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon mengalami luka-luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Selain itu, tiga lagi pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi telah dibawa ke hospital Sayed Galal untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette