Rata-rata peniaga di Jalan Hang Tuah atau dikenali Hang Tuah Mall , Melaka yang majoritinya Melayu menolak cadangan DAP untuk menjenamakan jalan sepanjang hampir satu kilometer itu dengan konsep pasar malam Jonker Walk atau dirujuk sebagai Jonker Walk 2.0.

MELAKA – Rata-rata peniaga di Jalan Hang Tuah atau dikenali Hang Tuah Mall di sini menolak cadangan DAP untuk menjenamakan jalan sepanjang hampir satu kilometer itu dengan konsep pasar malam Jonker Walk atau dirujuk sebagai Jonker Walk 2.0.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, peniaga yang majoritinya Melayu yang telah bertapak di situ sejak lebih 40 tahun lalu mahu jalan itu mengekalkan idenditi asalnya.

Tegas mereka, Hang Tuah Mall tidak sepatutnya dibayangi konsep China Town sebagaimana Jonker Walk bersebelahannya di Jalan Hang Jebat yang dibuka 25 tahun lalu.

Peniaga kedai makan, Azimah Zainal, 40, berkata, dia lebih selesa Hang Tuah Mall membangun secara tradisi sejak keluarganya berniaga di situ empat generasi lalu.

Azimah Zainal

“Cadangan konsep Jonker Walk 2.0 ini memang dikatakan diambil dari Jonker Walk asal, tapi peniaga-peniaganya  Cina atau Melayu? Itu kami nak tahu sebab di blok bangunan di sini hampir semuanya Melayu.

“Jadi di mana kedudukan kami peniaga Melayu di sini?. Kalau nak bangunkan pun buatlah cara lain seperti buat pasar Melayu warisan ke, sesuai dengan namanya pun Hang Tuah Mall,” katanya.

Peniaga kedai kaca dan bingkai gambar, Zainordin Abdullah, 62, berkata, adalah lebih baik kawasan itu dibangunkan semula sebagai Hang Tuah Mall Night Walk seperti pernah direalisasikan lima tahun lalu.

Zainordin Abdullah

“Sebenarnya elok juga jalan ini dibangunkan semula konsep seperti Jonker Walk, tapi bukanlah guna nama itu sebaliknya kekalkan seperti Hang Tuah Mall Night Walk sebelum ini.

“Dulu pun kita ada minta buat macam pasar karat dulu-dulu tapi tak tahu di mana silapnya ia gagal dilaksanakan,” katanya yang sudah berniaga di situ sejak 40 tahun lalu.

Sementara itu, bagi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka Kampus Bandaraya di Hang Tuah Mall, Izzzayanti Anuar, 22, berkata, dan rakan-rakannya selesa dengan keadaan sedia ada tanpa perlu ia disesakkan lagi.

Izzzayanti Anuar

“Lagi pun, biarlah Jonker Walk dan Hang Tuah Mall ini ada identitinya yang tersendiri kerana setakat ini memang apa yang ada di sini sudah memudahkan kami para pelajar.

“Kalau semua tempat nak dijadikan terlalu padat, kami pun rasa tak selamat jadi biarlah ia kekal begini.

Ahad lalu, MalaysiaGazatte melaporkan cadangan DAP untuk wujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah selepas kejayaan pasar malam setiap Jumaat Sabtu dan Ahad di Jalan di Hang Jebat itu mendapat perhatian pelancong dari serata dunia.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dalam reaksi balasnya semalam bagaimanapun berkata cadangan itu belum pernah dibincangkan dan memerlukan perancangan lebih teliti.

DAP berpendapat ruang siar kaki yang luas di Hang Tuah Mall sebagai antara sebab mahu kawasan itu dibangunkan dengan konsep Jonker Walk.

Cadangan itu dilontarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana yang juga Setiausaha Organisasi DAP Melaka Low Chee Leong Low Chee Leong.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berpendapat kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk sedia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here