KUANTAN – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi pertimbangan untuk menambah bilangan pelajar tajaannya untuk menyambung pelajaran dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh di Jordan.
Menurut Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, langkah itu penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga pakar yang akan menjadi tulang belakang khususnya dalam pembangunan Industri Halal Malaysia kelak.
“Ini penting untuk kita salurkan mereka dalam bidang termasuk indsutri halal Malaysia yang sedang dibangunkan Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Pengerusi majlis bersama jawatankuasa yang dilantik kini sedang meneliti semua aspek ekosistem halal, termasuk tadbir urus, perundangan, pembangunan sumber manusia serta pengantarabangsaan untuk memastikan ia berkembang secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) kepada 124 pelajar sesi 2024/2025 di Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Kursus tersebut merupakan inisiatif kerjasama antara MARA dan Yayasan Pahang untuk memperkasa pelajar dalam bahasa Arab dan kepimpinan sebelum melanjutkan pengajian ke Jordan.
Seramai 103 pelajar tajaan MARA melalui Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) telah menamatkan kursus dan bersedia ke universiti terpilih di Jordan iaitu Universiti Jordan, Universiti Al Albayt, dan Universiti Mu’tah.
Selain itu, 20 pelajar tajaan Yayasan Pahang pula akan memulakan pengajian tahun pertama dalam program berkembar 2+2 antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam. – MalaysiaGazette