Mohd Fared (depan) merakam kenangan bersama peserta selepas Merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor Peringkat Negeri Johor Kali Ke-14 Tahun 2024M /1446H di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Kertas kerja dan kajian Pelan Kemajuan Halal Johor 2030 kini berada pada fasa akhir untuk dilengkapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, apabila siap, ia akan dibentangkan  pada Mac ini bertujuan memacu industri halal di Johor.

“Halal Johor 2030 mesti bergerak lebih pantas untuk meneroka peluang dalam industri halal yang meluas dan merentasi sempadan sekali gus mampu meningkatkan ekonomi negeri ini.

“Pelan ini akan menjadi rangka strategik bagi menjadikan Johor sebagai hab halal utama bukan sahaja di peringkat nasional malah juga antarabangsa.

“Ia merangkumi inisiatif memperkasakan industri tempatan serta memastikan pematuhan piawaian halal global untuk membina keyakinan pengguna terhadap produk keluaran Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor Peringkat Negeri Johor Kali Ke-14 Tahun 2024M / 1446H di Stadium Arena Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.

Dalam Pembentangan Belanjawan Johor 2025 pada November lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM800,000 bagi tujuan pelaksanaan pelan berkenaan.

Inisiatif yang digerakkan melalui Perbadanan Islam Johor (PIJ) itu turut melibatkan komponen pembangunan seperti Pendidikan dan latihan Teknikal (TVET) Halal, Rumah Inap Desa Muslim, Sistem dan Platform Logistik Halal Bersepadu serta Sistem i-Mesra.

Mohd Fared berkata, pelan berkenaan itu antaranya bagi mempermudahkan pemain industri kecil dan sederhana (IPS) memohon sijil halal untuk dipasarkan hingga ke pasaran antarabangsa.

“Selain itu, kita turut menyediakan Halal Cottage yang mana 100 usahawan pertama akan diberikan bantuan RM5,000 untuk mereka membuat permohonan halal dan mereka diberikan bantuan daripada segi peralatan.

“Mereka ini akan dipantau dan diselia untuk pastikan mereka boleh bergerak berkembang dengan maju,” ujarnya.

Justeru pihaknya menyeru kepada semua usahawan IKS untuk memohon dalam Halal Cottage daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here