KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya melaksanakan sebanyak 615 siri membabitkan enam operasi berterusan dan tiga berkala sepanjang tahun lepas.
Panglima Laksamana TLDM, Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, pencapaian itu membuktikan Armada TLDM sentiasa siap siaga dan mampu memenuhi setiap tugasan diamanahkan walaupun tahap kesiagaan masih berada di bawah sasaran 56.52 peratus berbanding sasaran asal 75 peratus.
Katanya, sebanyak 35 daripada 37 markas berjaya mencapai penarafan empat bintang iaitu bersamaan 94.59 peratus berbanding 97.22 peratus pada tahun 2023.
“Pencapaian itu menunjukkan tahap kesiapsiagaan markas dan unit menurun berbanding tahun lalu dan mengharapkan ia dapat dipertingkatkan tahun ini.
“Dalam aspek pengurusan kewangan pula, TLDM berjaya membelanjakan 100 peratus peruntukan diterima sebanyak RM 1.676 bilion. Tahun ini, TLDM diperuntukkan RM84.93 juta,” katanya menerusi Perutusan Tahun Baharu 2025 Panglima Tentera Laut hari ini.
Dalam pada itu, Zulhelmy berkata, bagi memastikan perbelanjaan dioptimumkan, setiap Pengurus Pusat Tanggungjawab (PTJ) merangka strategi dan rancangan perbelanjaan yang teliti bagi memastikan peruntukan tersebut dapat dibelanjakan sebaiknya serta berhemah.
Beliau turut berbangga pasukannya berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk menaik taraf infrastruktur yang diyakini memberi manfaat kepada warga kerja TLDM.
Malah seramai 420 pegawai dan 3,860 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) juga menerima kenaikan pangkat sepanjang tahun lalu. – MalaysiaGazette