KUALA LUMPUR- Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuhkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan sempadan kedua-dua negara.
Perkara itu dicapai dalam Mesyuarat ke-56 Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee) Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) yang berlangsung hari ini di Thailand.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, GBC MALTHAI merupakan agenda utama kunjungan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam lawatan rasmi pertamanya ke Thailand yang bermula dari semalam hingga 30 Januari ini.
“Lawatan itu merupakan satu langkah penting dalam usaha mengukuh dan mempertingkat hubungan diplomasi antara Malaysia dan Thailand khususnya dalam konteks pertahanan,” katanya.
Untuk rekod, GBC MALTHAI ditubuhkan berikutan termeterainya Perjanjian Persempadanan Am (General Border Agreement) pada tahun 1964 dan ia berfungsi sebagai platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan antara kedua-dua negara.
Tiga jawatankuasa utama yang beroperasi di bawah struktur GBC ialah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC), dan Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama Thailand-Malaysia (THAMAL JCEC).
Menurut Kementerian Pertahanan, sebelum menghadiri mesyuarat GBC, Khaled sempat mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Phumtham Wechayachai, di Kementerian Pertahanan Thailand.
Perbincangan kedua-dua pemimpin tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan, mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau, serta memajukan mekanisme keselamatan sedia ada di peringkat dua hala dan pelbagai hala.
Bersempena Malaysia yang kini menerajui Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025, Khaled turut menjemput Wechayachai untuk menyertai Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) yang akan berlangsung di Pulau Pinang dari 25 hingga 27 Februari 2025.
Manakala ADMM dan ADMM Plus pula akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 21 November 2025.
Turut hadir dalam delegasi Malaysia adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta pengurusan tertinggi dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri.- MalaysiaGazette