MELAKA – Kerajaan Melaka menyifatkan pembangkang hanya mahu mengambil kesempatan terhadap isu Jonker Walk 2.0 sedangkan ia bukan seperti yang mereka canang untuk dijadikan modal politik.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, cadangan sebenar hanyalah untuk membawa konsep perniagaan Jonker Walk di Jalan Hang Jebat ke Jalan Hang Tuah bukan menukar nama jalan berkenaan.
“Sebenarnya tak ada pun cadangan tukar nama Jalan Hang Tuah dan sebagainya dan kepada pihak yang ingin mengambil ia sebagai modal politik atau mereka cerita-cerita politik seperti ini, hentikanlah.
“Di waktu masyarakat kaum Cina sedang menyambut perayaan Tahun Baru Cina, rasa amat tidak bersesuaian lagi pun cadangannya adalah untuk diwujudkan satu pasar malam seperti Jonker Walk dan dirujuk sebagai Jonker Walk 2.0 bukannya hendak tukar nama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Soo Chin di Jasin di sini hari ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam serta isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman dan keluarga serta beberapa pemimpin negeri.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban mengutuk cadangan pemimpin DAP untuk menjenamakan semula Jalan Hang Tuah kepada Jonker Walk 2.0.
Tegasnya, nama Hang Tuah perlu dikekalkan sebagai lambang kepada sejarah Melaka malah nama-nama jalan di negeri itu perlu menggunakan nama-nama dalam sejarah Melayu Kesultanan Melaka sebagai tanda nasionalisme dan kesetiaan kepada negara.
Sementara itu, Allex Seah yang juga Setiausaha DAP negeri berkata, perkara itu masih diperingkat cadangan dan pelbagai tohmahan tidak bertanggungjawab dikeluarkan pihak tertentu hanya akan merosakkan keharmonian kaum.
“Tidak seharusnya pembangkang memainkan sentimen berkenaan memandangkan kepimpinan negeri ketika ini sentiasa berusaha membawa pembaharuan yang memberikan pulangan kepada rakyat.
Ahad lalu, MalaysiaGazatte melaporkan cadangan DAP untuk wujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah selepas kejayaan pasar malam setiap Jumaat Sabtu dan Ahad itu mendapat perhatian pelancong dari serata dunia.
Rais Yasin dalam reaksi balas awalnya bagaimanapun berkata cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana yang juga Setiausaha Organisasi DAP Melaka, Low Chee Leong itu belum pernah dibincangkan dan memerlukan perancangan lebih teliti. – MalaysiaGazette