KUALA LUMPUR – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik sebanyak lima sen seliter iaitu daripada RM3.13 seliter kepada RM3.18 seliter bagi tempoh 30 Januari hingga 5 Februari 2025.
Bagaimanpun harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
Ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism.
Bagi tempoh yang sama, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.43 seliter dan harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter.
Menurut kenyataan yang sama, kerajaan menetapkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.18 seliter dan harga tersebut masih kekal rendah berbanding harga diesel yang diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu RM3.35 seliter mahupun harga diesel di pasaran dunia kini.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette