Syed Rosli Jamalullail

KUALA LUMPUR – Tindakan MCA Johor dalam insiden terbaru ini jelas menunjukkan betapa tidak bertanggungjawabnya mereka dalam menguruskan komunikasi media sosial parti.

Pengulas politik, Syed Rosli Jamalullail berkata, walaupun pimpinan parti itu sudah meminta maaf namun beberapa persoalan mencurigakan perlu diberi perhatian.

Sebelum itu, MCA Johor baru-baru ini menerusi akaun Facebooknya memuat naik status menyatakan kerajaan sudah menyediakan dana untuk membantu rakyat Palestin selain peruntukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bagi tujuan percetakan al-Quran, namun untuk tol percuma Tahun Baru Cina tidak diberikan

Perbandingan itu, menurut pelbagai pihak menimbulkan sangkaan jahat dan membina persepsi salah terhadap bantuan yang diterima umat Islam dan rakyat Palestin.

Mengulas perkara itu, Syed Rosli yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan mempersoalkan kenapa admin lama FB MCA Johor masih diberi akses

“Ini menunjukkan kecuaian besar dalam pengurusan organisasi mereka. Jika sebuah laman media sosial pun tidak dapat dikawal dengan baik, bagaimana mereka mahu mentadbir negara?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tidak masuk akal jika pentadbir media sosial boleh memuat naik posting kontroversi tanpa rujukan kepada kepimpinan parti.

“Ini menunjukkan sama ada mereka tidak mempunyai garis panduan yang jelas atau sengaja membiarkan perkara ini berlaku. Jika ini sikap mereka dalam mengendalikan komunikasi rasmi, mereka tidak layak mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.

Selain itu, kegagalan mereka memadam dan memohon maaf pada kadar segera juga dikesali.

“Posting asal dibuat dua hari sebelum ini dan hanya dipadam selepas menerima kritikan hebat. Permohonan maaf pula hanya dibuat selepas tekanan meningkat. Jika benar mereka ikhlas, tindakan pantas pasti diambil sejak awal.

“Ini jelas hanya strategi damage control untuk menyelamatkan diri bukan kerana rasa tanggungjawab,” dakwanya.

Menurut Syed Rosli lagi, perbezaan bahasa dalam hantaran asal dalam Bahasa Cina dan permohonan maaf dalam Bahasa Melayu juga dilihat pelik.

“Posting asal dalam bahasa Cina, tetapi permohonan maaf dibuat dalam Bahasa Kebangsaan. Ini menimbulkan persoalan besar—adakah mereka hanya mahu menenangkan satu pihak sahaja?

“Jika benar-benar insaf, permohonan maaf sepatutnya dibuat dalam bahasa yang sama supaya mesej sampai kepada mereka yang menyokong posting asal,” katanya.

Beliau melihat apa yang berlaku seolah-olah MCA kini desperado dan semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan.

“Mereka cuba menjadi “terpaling Cina” untuk menyaingi DAP dengan menyerang kerajaan walaupun secara tidak langsung menimbulkan perpecahan kaum. Ini bukan kali pertama mereka cuba bermain api perkauman demi kelangsungan politik. Tidak hairan jika pengundi semakin menolak mereka dalam PRU akan datang,” katanya.

Justeru Syed Rosli mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat MCA Johor di bawah Akta Hasutan 1948 serta undang-undang berkaitan komunikasi dan media sosial.

Siasatan perlu dibuat bagi mengetahui siapa yang benar-benar bertanggungjawab dalam memuat naik hantaran berkenaan.

Ia juga perlu diketahui samaa ada arahan dalaman dari kepimpinan MCA untuk menggunakan strategi berkenaan.

“Kita tidak boleh membiarkan mana-mana pihak bermain dengan api perkauman demi kepentingan politik mereka sendiri. Rakyat Malaysia perlu bersatu menolak politik kebencian sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Ka Siong mohon maaf isu hina agama Islam di Johor

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here