KUALA LUMPUR- Konsortium yang diketuai Khazanah Nasional Bhd., Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) sudah mempunyai saham yang mencukupi untuk menyahsenarai Malaysians Airlines Holdings Bhd (MAHB).
GDA dalam kenyataannya berkata, setakat jam 5 petang semalam, konsortium itu sudah memegang 1.58 juta saham yang mewakili 94.47 peratus daripada jumlah keseluruhan saham terbitan dalam MAHB.
Tambahnya, hari terakhir dagangan awam MAHB adalah pada 19 Februari ini dan langkah-langkah untuk menyahsenarai syarikat pengendali lapangan terbang itu sedang diambil.
“Dengan syarat penerimaan telah dipenuhi, tawaran ini kini bersifat tanpa syarat dan Konsortium telah mencapai ambang yang diperlukan untuk menyahsenarai serta memperoleh 100 peratus pegangan saham MAHB.
“GDA akan segera membayar pemegang saham harga tawaran sebanyak RM11.00 bagi setiap saham yang telah mereka serahkan dalam tawaran ini.
“Tawaran ini akan kekal dibuka sehingga 12 Februari 2025, dan pemegang saham mempunyai masa sehingga jam 5 petang pada tarikh tersebut untuk menerima tawaran bagi mana-mana saham yang masih belum diserahkan.
Tiada lanjutan tempoh tawaran selepas ini,” katanya.
Semua baki saham yang belum dimiliki GDA selepas jam 5 petang 12 Februari akan diperolehi secara paksa, selaras dengan Seksyen 222 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“GDA percaya bahawa transformasi MAHB paling baik dilakukan sebagai sebuah syarikat persendirian, disokong oleh pelabur strategik dan kewangan dengan kepakaran teknikal antarabangsa.
“Ini akan membolehkan MAHB mengambil pendekatan jangka panjang dalam membuat keputusan, pelaburan modal, serta penambahbaikan dalam hubungan penerbangan dan perkhidmatan pelanggan,” kata kenyataan itu lagi.
MAHB adalah aset strategik Malaysia dan akan kekal dimiliki majoriti oleh pelabur Malaysia melalui UEM Group Berhad (anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang bersama-sama memiliki 70% kepentingan dalam GDA.- MalaysiaGazette