BAGAN SERAI – Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membuat laporan polis terhadap sebuah akaun Facebook yang memuat naik hantaran palsu berhubung kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai ‘anak YTL’.
Menurutnya, laporan itu dibuat supaya pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat siasatan terhadap akaun media sosial tersebut.
“Pada 28 Januari lebih kurang jam 7 malam ketika sedang berada di rumah, saya telah melihat satu hantaran berita di media sosial Facebook yang menyatakan ‘Razman pertahan tuduhan Hannah Yeoh anak tauke YTL’ dan ‘Saya dah periksa akaun derma bank Pas, banyak lagi peruntukan untuk bayar saman, ujarnya gembira’.
“Hantaran tersebut turut memuat naik gambar saya. Saya menafikan hantaran berita tersebut dan tidak pernah membuat kenyataan seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu turut memaklumkan laporan polis itu dibuat kerana tidak mahu ada akaun media sosial yang tidak bertanggungjawab dalam penyebaran fakta yang tidak benar.
“Saya tidak mahu budaya menipu dan membohongi rakyat menjadi ikutan budaya rakyat Malaysia. Di samping itu, saya juga mahukan SKMM dan Kementerian Komunikasi lebih berkesan mengawal berita palsu dan tidak membuat tindakan terpilih,” tegasnya.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 19 saat memaparkan pemimpin Pas itu mengaitkan Hannah dengan dengan kumpulan konglomerat berkenaan.
Bagaimanapun, Razman pada Isnin membuat permohonan maaf kepada kedua-dua pihak atas kesilapan yang dilakukannya dan mengakui terkhilaf apabila mengaitkan Hannah dengan YTL. – MalaysiaGazette