KUALA LUMPUR- Pelajar wanita Malaysia di Hiroshima, Jepun yang dilaporkan hilang telah ditemukan selamat dan dibawa ke Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.
Maklumat mengenai penemuan Nurin Hannani Hafizi, 21, penuntut institusi pengajian Kure Kosen dikongsi oleh Malaysian Students’ Association in Japan (MSAJ) di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Sebuah organisasi dakwah rakyat Malaysia di Jepun, IMAN Jepun turut berkongsi berita itu di Facebook.
“Kami telah menerima berita daripada Kedutaan Malaysia. Alhamdulillah, Hannani telah ditemukan dengan selamat. Terima kasih kepada semua atas kerjasama, sokongan dan doa anda. Kebaikan dan usaha anda amat bermakna,” kata IMAN Jepun di laman Facebook rasminya.
Dalam pada itu, ibu Nurin Hannani, Noor Afzan Abdul Razak berkata, beliau sekeluarga bersyukur apabila mendapat maklumat anaknya yang sejak empat hari lalu ditemui selamat.
Bercakap kepada BH Online, beliau dimaklumkan anak sulungnya itu ditemui dalam keadaan keliru.
Bagaimanapun, beliau masih belum bercakap dengan Nurin Hannani kerana mahu memberikan masa untuk gadis itu bertenang dan menyerahkan semua urusan kepada Kedutaan Malaysia di Jepun.
Difahamkan, gadis itu dipercayai meninggalkan kampus pada tengah hari Isnin lalu dan gagal dihubungi selepas itu, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak kedutaan serta Imigresen Jepun.