Persembahan tarian Shorinji daripada pelajar-pelajar Kursus Shorinji Kempo.

KOTA KINABALU – Pembangunan modal insan dalam era ini harus menjadikan konsep Malaysia Madani sebagai kerangka asas dengan menekankan nilai-nilai teras
seperti keberdayaan, kepercayaan dan kasih sayang.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, prinsip Malaysia Madani adalah selari dengan matlamat pembelajaran kokurikulum di universiti yang mampu melahirkan graduan holistik.

Menurutnya penganjuran seperti karnival kokurikulum di universiti mampu menyahut aspirasi Pelan Pembangunan Malaysia 2015-2025 dalam melahirkan graduan yang
mampu menghayati nilai-nilai patriotisme dan jati diri serta menguasai kemahiran insaniah ke arah kebolehpasaran kerja.

“Kokurikulum adalah elemen penting dalam usaha membentuk graduan yang holistik. Mahasiswa dapat belajar untuk mengasah bakat kepimpinan, memupuk rasa
tanggungjawab sosial dan membangunkan kompetensi global melalui penglibatan mereka dalam program kokurikulum seperti SPRINT, Karnival Inovasi dan Karnival
Kokurikulum.

“Kokurikulum bukan sekadar satu komponen pelengkap dalam sistem pendidikan, tetapi juga merupakan satu platform penting untuk membentuk sahsiah, kemahiran
insaniah dan daya kepimpinan para mahasiswa,” katanya ketika merasmikan penutupan Karnival Kokurikulum UMS (KARKUMS) Semester 1, Sesi 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Canselor UMS, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Tambah Kasim, pembelajaran kokurikulum juga mampu membuka ruang kepada mahasiswa untuk meneroka potensi diri serta mengukuh semangat kerja berpasukan
di samping memupuk nilai-nilai murni.

“Karnival ini memberi kesedaran kepada mahasiswa supaya aktif, bukan sahaja dalam bidang kokurikulum, malah dalam bidang kemasyarakatan dan prihatin dalam
membantu komuniti.

“Saya percaya, dengan pelaksanaan program kokurikulum yang komprehensif, kita mampu melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik serta memiliki sifat
kepimpinan yang unggul dan berdaya saing bagi menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dengan yakin dan berjaya.

“Karnival ini adalah bukti nyata bahawa kokurikulum tidak sekadar menjadi pelengkap kepada akademik, tetapi sebuah jambatan untuk memperkayakan
pengalaman mahasiswa dengan nilai tambah yang berkekalan,” ujar Kasim.

Seramai 3,000 pelajar UMS mengambil bahagian dalam persembahan dan pameran KARKUMS Semester 1, Sesi 2024/2025 yang turut dihadiri oleh pelancong-pelancong
luar negara seperti China, Korea dan Brunei. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here