KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri dalam menangani bencana banjir di Sabah dan Sarawak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
“Berduka cita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini.
“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, beliau turut mengarahkan jabatan pendidikan negeri mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
Menurutnya, Skuad Ihsan Madani akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
Setakat ini, sebanyak 5,106 mangsa banjir membabitkan 1,416 keluarga di Sarawak berada di 42 pusat penempatan sementara (PPS).
Manakala di Sabah pula, terdapat 3.550 mangsa banjir di 25 PPS.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Datuk amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah mengkoordinasikan dengan pelbagai agensi dalam melakukan operasi menyelamat an bantuan.
Seramai 4,742 anggota dan 531 aset digunakan untuk tujuan tersebut.
Jelasnya, agensi-agensi ini komited menyediakan bantuan kritikal kepada komuniti yang terjejas dengan bencana banjir. – MalaysiaGazette