Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) melakukan gimik pelancaran ketika hadir ke Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-13 di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 31 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Kerajaan bukan sahaja komited dalam memperkasakan wakaf al-Quran di dalam negara malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan menyebarkannya di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemerkasaan syiar Islam melalui inisiatif Waqaf al-Quran mampu meluaskan akses terhadap kitab suci itu dan menghidupkan amalan berwaqaf.

Jelas beliau, ia demi melahirkan generasi celik al-Quran yang memahami dan mengamalkan ajarannya dalam membina ummah dan negara.

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) membuka replika Al-Quran Mushaf Huffaz ketika hadir ke Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 kali ke-13 di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 31 JANUARI 2025.

“Hari ini kita menyaksikan inovasi baharu dalam program wakaf ini dengan memperkenalkan Mushaf Mufiq.

“Mushaf ini dilengkapi terjemahan, tafsir dan maklumat tambahan lain bagi memudahkan pembaca memahami dan menghayati al-Quran.

“Reka bentuk dan tipografi inovatif yang digunakan untuk memisahkan ayat memudahkan pembacaan, serta menyoroti makna penting.

“Usaha menghubungkan dan mengintegrasikan ayat-ayat suci al-Quran dengan ilmu STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) menjadikan lebih mudah dan relevan dengan perkembangan pendidikan hari ini.

“Inisiatif ini bukan sahaja melahirkan generasi celik al-Quran tetapi juga berupaya meneroka kebesaran ilmu Allah melalui disiplin ilmu moden,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 Kali ke-13 bersempena Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) anjuran Yayasan Restu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, usaha memartabatkan al-Quran bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa agama semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama.

Ujar beliau, generasi muda perlu dididik dengan kefahaman bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi harus dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan.

“Sebagai sebuah negara Islam yang progresif, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pusat percetakan dan pengedaran al-Quran terbesar di rantau ASEAN.

“Dengan adanya Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, Malaysia telah memiliki fasiliti yang bertaraf antarabangsa dan mampu mencetak jutaan naskhah al-Quran setiap tahun.

“Dengan tekad dan kesungguhan, kita mampu menjadikan Malaysia sebagai negara contoh dalam memperkukuhkan institusi wakaf dan pendidikan Islam,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid memuji, langkah Yayasan Restu memperkenalkan sistem pembayaran wakaf al-Quran secara elektronik di mana merupakan contoh inovasi digital yang amat baik.

Ini kerana teknologi itu memudahkan dan memperluas jangkauan amalan berwakaf.

“Orang ramai boleh menyumbang pada bila-bila masa dan dari mana sahaja, hanya dengan menggunakan telefon pintar atau komputer.

“Ini meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan bagi mereka yang ingin berwakaf serta pengurusan dana wakaf yang lebih efisien dan telus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here